Sayydina Abu
Hurairah meriwayatkan bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad bersabda:
"Sesungguhnya,
di kalangan kaum Bani Israil ada tiga orang lelaki, seorang sopak, seorang
botak dan seorang lagi buta. Allah hendak menguji mereka lalu Allah menghantar
malaikat berjumpa mereka. malaikat itu pergi menemui si sopak lalu bertanya,
'Apakah yang kamu ingini?' Dijawab oleh si sopak itu, 'Warna kulit yang bagus,
kulit yang bersih dan hendaknya sembuhlah penyakit ini yang menyebabkan orang
jijik kepada saya.' Malaikat itu pun mengusap kulitnya lalu hilanglah penyakit
itu daripada tubuhnya dan digantikan oleh Allah dengan warna yang baik dan
kulit yang bagus. Malaikat itu bertanya lagi, 'harta yang bagaimanakah yang
kamu ingini?' Dijawab oleh orang itu, 'Unta'. Dia kemudiannya diberi unta yang
bunting. Kemudian, malaikat itu berkata, 'Semoga Allah memberkati unta ini
untukmu.'
Kemudian malaikat
itu pergi menemui si botak dan berkata, 'Apakah yang kamu ingini?' Dijawab oleh
si botak, "Rambut yang bagus dan hendaknya hilang-hilang apa-apa yang
menyebabkan orang jijik memandang saya.' malaikat itu pun mengusapnya, lalu
lenyaplah botak itu daripada kepalanya dan dia dikurniai rambut yang cantik.
Malaikat itu bertanya lagi, 'harta yang bagaimanakah yang kamu ingini?' Dijawab
oleh orang itu, 'Lembu'. Dia kemudian diberi lembu yang bunting. kemudian, malaikat
itu berkata, 'Semoga Allah memberkati lembu ini untukmu.'
Terakhir, malaikat
itu pergi menemui si buta dan berkata, 'Apakah yang kamu ingini?' Si buta
menjawab, "saya mahu Allah mengembalikan penglihatan saya sehingga saya
dapat melihat semua orang.' Malaikat itu pun mengusapnya, lalu Allah
mengembalikan penglihatannya. Malaikat itu bertanya lagi, "harta yang
bagaimanakah yang kamu ingini?' Dijawab oleh orang itu, 'kambing'. Dia kemudian
diberi kambing yang bunting. kemudian malaikat itu berkata, 'Semoga Allah
memberkati kambing ini untukmu.'
Unta dan lembu itu
melahirkan anak-anaknya, kambing itu pun melahirkan anak-anaknya. Si sopak
mempunyai satu lembah yang penuh unta. Si botak mempunyai satu lembah yang
penuh lembu. Si buta mempunyai satu lembah yang penuh kambing.
Malaikat itu
kemudiannya berjumpa dengan si sopak, tampil dengan wajah seperti orang sopak
yang hina dina. Kata malaikat itu, "saya orang miskin dalam perjalanan.
Saya tidak mempunyai sebrang sumber rezeki. Hanya Allah yang dapat menyampaikan
hajat saya hari ini, dan dengan pertolongan tuan juga. Atas nama Allah yang
mengurniakan pada tuan warna yang baik dan kulit yang bagus dan harta yang
banyak, sudilah tuan membantu keperluan saya dalam perjalanan ini."
Si sopak itu
menjawab, "keperluan saya pun masih banyak lagi." Malaikat itu
berkata lagi, "Saya seperti kenal kamu. Bukankah kamu dahulu sakit sopak,
sehingga semua orang jijik kepadamu? Bukankah kamu dahulu miskin , kemudian
Allah mengurniakan harta kepadamu?". Dijawab oleh si sopak, "Semua
harta ini saya warisi daripada datuk nenek saya dan mereka mewarisinya daripada
datuk nenek mereka." Kata malaikat itu lagi, "Apabila kamu berdusta
dengan apa yang kamu lakukan, Allah akan kembalikanmu kepada keadaan yang asal."
Malaikat itu pergi
menemui si botak, tampil dengan wajah seperti orang botak yang hina dina.
kemudian dia berkata sebagaimana dia berkata-kata kepada si sopak, tetapi si
botak itu pun menolak permintaannya, seperti halnya dengan si sopak dahulu.
Akhirnya malaikat itu berkata, "Apabila kamu berdusta dengan apa yang kamu
katakan, Allah akan kembalikan kamu kepada keadaanmu yang asal."
Malaikat itu
kemudian pergi berjumpa si buta, tampil dengan wajah seperti orang buta yang
menyedihkan. Kata malaikat itu, "Saya orang miskin dalam perjalanan. Saya
tidak mempunyai sebarang sumber rezeki. Hanya Allah yang dapat menyampaikan
hajat saya hari ini dan dengan pertolonggan tuan juga. Atas nama Allah yang
mengembalikan penglihatan tuan, berilah saya seekor kambing untuk kegunaan
saya, supaya tercapailah tujuan saya dalam perjalanan ini." Orang itu
berkata, "saya dahulu buta, kemudian Allah memulihkan penglihatan saya,
maka sebab itu ambillah mana-mana kambing yang tuan mahu dan tinggalkanlah
mana-mana yang tuan tidak mahu. Demi Allah, hari ini saya tidak akan
menyusahkan urusan tuan dengan apa yang tuan ambil semata-mata bagi mendapatkan
keredaan Allah, Tuhan Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa."
Malaikat itu
menjawab, "Simpanlah hartamu, sebab sebenarnya kamu semua diuji, kemudian
Allah reda dengan dirimu dan murka kepada dua orang sahabatmu."
(Hadith riwayat
Bukhori dan Muslim)
perkongsian dari Saudara Fadhli Ahmat